2011年4月4日星期一

Langkah-langkah Mengatasi Masalah Rasuah

Pada alaf yang pesat dengan pelbagai kemajuan sains dan teknologi, kita sebagai rakyat Malaysia boleh mendabik dada kerana negara kita sudah pun maju setapak lagi ke hadapan dan mampu "berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan negara-negara maju yang lain. Namun begitu, antara musuh terbesar negara, iaitu rasuah masih belum menemui titik penyelesaiannya. Gejala rasuah ini merupakan masalah kronik kerana pegawai-pegawai yang menerima rasuah itu kebanyakannya terdiri daripada pegawai kerajaan berpangkat tinggi. Kegiatan rasuah boleh membantutkan pembangunan negara. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan rasuah ini amat kontras dengan matlamat yang ingin dicapai dalam Wawasan 2020, dan pasti akan menjadi masalah yang amat besar.

Cara-cara yang dapat mengatasi maslah kes rasuah termasuklah kerajaan haruslah menguatkuasakanundang-undang untuk mencegah kes rasuah yang semakin banyak dalam negara ini. Sebagai contoh, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) haruslah mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap sesiapa pegawai kerajaan dan pegawai swasta yang terlibat dalam kes rasuah. Oleh itu, satu operasi dan evolusi yang sistematik dan terancang mestilah dirangka supaya dapat membantu menyiasat sesiapa pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes rasuah. Operasi-operasi yang dianjurkan ini perlulah mendapat kerjasama dan galakkan yang banyak daripada kerajaan dan rakyat.Dengan cara ini, masyarakat akan sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

Selian itu,kerajaan perlu memasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan.Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi.Hal ini dapat dikaitkan dengan peribahasa“melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah. kerajaan haruslah menerapkan keburukan rasuah ke dalam silibus pendidikan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Sebagai contoh, guru-guru dalam sekolah haruslah sentiasa menggalakkan pelajar-pelajar banyak membaca surat khabar, buku dan majalah untuk mengetahui lebih banyak isu-isu semasa saeperti kes rasuah. Tambahan pula,sekolah juga haruslah mengadakan kempen-kempen tentang keburukan kes rasuah supaya pelajar dapat memahami secara mendalam tentang rasuah. Dengan itu, ibubapa juga haruslah bekerjasama dengan guru-guru di sekolah dengan meluangkan lebih banyak masa lapang untuk memberi nasihat tentang keburukan rasuah kepada anak-anak mereka.

Di samping itu,kerajaan haruslah memantapkan iman dan mengukuhkan jati diri seseorang pengawai kerajaan. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata. kerajaan haruslah menanam nilai-nilai murni ke dalam diri pegawai-pegawai kerajaan untuk mengukuhkan jati diri mereka. Sebagai contoh, kerajaan haruslah menganjurkan kursus untuk pegawai kerajaan dan pegawai swasta menyertai supaya dapat menaikkan potensi mereka semasa menjalankan tugasan mereka dalam pejabat.Dengan itu, kandungan dalam kursus yang dianjurkan ini haruslah mengandungi aspek pembangunan rohani yang berteraskan ajaran agama. Ini juga dapat menggalakkan pegawai kerajaan dan pegawai swasta supaya mereka boleh berpegang teguh kepada agama masing-masing.
Bukan setakat itu sahaja,kemerosotan integriti merupakan faktor perdana yang menyebabkan rasuah. Integriti ditakrifkan sebagai keikhlasan, ketulusan, kejujuran dan sikap positif lain yang wujud secara keseluruhan pada individu, keluarga, komuniti dan sesebuah organisasi.Oleh itu,kita perlulah meningkatkan integriti supaya masalah rasuah dapat diatasi.Institusi sosiobudaya yang merangkumi pendidikan, kesihatan, rekreasi, sukan, dan media massa memainkan peranan yang amat penting dalam pembinaan insan yang berintegriti dan beretika. Matlamat pengukuhan integriti dalam aspek sosiobudaya ialah pembinaan insan yang berintegriti dalam persekitaran sosiobudaya yang berintegriti. Selain aspek akademik, komponen kesihatan, rekreasi dan sukan juga menyumbang kepada pembinaan kesihatan badan, kecergasan mental, keceriaan dan produktiviti individu. Untuk meningkatkan taraf kesihatan badan dan kecergasan mental, penerapan, penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam bidang sukan dititikberatkan. Selain itu, pengurusan badan- badan sukan juga amatlah penting kerana badan-badan ini dianggap dapat menolong meningkatkan etika dan integriti. Penulisan cerpen, artikel, dan buku yang bertemakan integriti digalakkan untuk menanam amalan etika dalam bidang penulisan yang berbeza. Sebagai contoh, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) juga boleh menganjurkan pertandingan lagu, poster, esei, iklan, laman web, pidato, perbahasan dan sebagainya mengenai integriti. Selain itu, pemberian anugerah dan pengiktirafan dalam bentuk-bentuk karya yang lain akan menonjolkan lagi nilai etika dan integriti. Justeru, komponen-komponen ini perlu digemblengkan dalam usaha pemantapan integriti.
Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti untuk menghalang seseorang pelajar itu tidak terdedah kepada masalah rasuah yang akan menjatuhkan imej diri,keluarga dan juga masyarakat.Usaha menerapkan konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk mengawalnya.Sudah terang lagi bersuluh bahawa agama adalah benteng diri yang cukup berkesan. Seseorang yang mempunyai pegangan agama, menghayati serta mengamalkan ajaran agama akan sentiasa diberkati Tuhan dalam hidupnya dan seseorang itu tidak akan melakukan sebarang perkara yang salah seperti rasuah. Setiap agama di dunia ini mahukan penganutnya hidup berpaksikan nilai murni seperti jujur, amanah, bekerjasama, benar, telus, adil dan saksama. Dunia ini akan menjadi lebih selamat dan hidup manusia juga akan menjadi aman damai dan bebas daripada segala bentuk jenayah jika manusia mematuhi ajaran dan tuntutan agama. Walaupun rakyat Malaysia mempunyai pelbagai agama, tetapi ini tidak akan menjadi masalah jika semua perkara ditangani dengan baik. Sikap hormat-menghormati dan saling memahami antara penganut patut ditingkatkan. Jelas sekali, ibu bapa yang menjadi pendidik utama bertanggungjawab memastikan anak-anak dihantar untuk mendapatkan pendidikan agama. Institusi yang memainkan peranan penting dalam membina integriti individu, masyarakat dan negara menyemai nilai-nilai moral ke dalam diri individu berlandaskan ajaran agama masing- masing.

Sebagai akhirulkalamnya,semua pihak haruslah berganding bahu bagai “aur dengan tebing’’untuk meningkatkan integriti individu,masyarakat dan negara. Lagipun,pepatah Melayu ada menyebut, “Ranting sekerat masakan bisa menyokong berat’’.Dengan kata lain,janganlah kita menyerah bulat-bulat kepada pihak kerajaan.Begitu juga dengan masalah rasuah di negara kita, kita patut membantu pihak kerajaan, khususnya SPRM untuk membanteras amalan rasuah yang pernah dikatakan lebih buruk daripada pelacuran. Jadi, kita patut mengukuhkan integriti diri yang merupakan resipi penting utnuk menghapuskan amalan rasuah.Ayuh,marilah rakyat Malaysia,kita bersama-sama membawa nagara kita ke mercu kegemilangan tanpa rasuah dan katakan “TAK NAK KEPADA RASUAH”.